News & Events

MESTECC Lulus Kuota 50 MW NEM di Sabah

DATE : 04 NOVEMEBER 2019
WRITER : Harits Asyraf Hasnan
PUBLISHER : Astro Awani

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata kerajaan telah meluluskan kuota 50 megawatt (MW) untuk program Pemeteran Tenaga Bersih atau ‘Net Energy Metering’ (NEM) di Sabah bermula 1 Januari 2020.

Jelasnya, jumlah perbelanjaan tambahan kepada kerajaan sebanyak RM13 juta bagi NEM 50 MW 1 to 1 untuk tempoh 10 tahun akan dibiayai menerusi Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE).

“Sejak polisi NEM 2.0 bermula pada bulan Januari, kami telah melihat peningkatan pengguna program NEM yang amat menggalakkan. Dalam 9 bulan ini, kapasiti NEM 2.0 yang telah diluluskan adalah 3 kali ganda jumlah yang diluluskan 3 tahun di bawah dasar lama antara 2016-2018.

“Saya amat yakin dengan pelanjutan Potongan Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) ke tahun 2023 dan peluasan GITE kepada solar leasing companies, NEM dan solar atas bumbung akan berkembang dengan lebih pesat lagi pada tahun 2020,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020) di Dewan Rakyat ini.

Jelasnya, Dasar NEM mampu merealisasikan potensi penjanaan kuasa daripada bumbung-bumbung solar sedia ada.

Melalui skim ini juga, pengguna yang memasang sistem penjanaan kuasa solar atas bumbung mereka boleh menjual lebihan tenaga kembali kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).